Tuntut permohonan maaf Mohamed Satim - Utusan Malaysia

Tuntut permohonan maaf Mohamed Satim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 28 Feb. – Pihak keluarga empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang meninggal dunia sebelum ini menuntut permohonan maaf daripada Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Dr. Mohamed Satim Diman.

Mohamad Satim Diman
MOHAMAD SATIM

Tuntutan tersebut ekoran kenyataan Mohamed Satim dalam satu ceramah semalam yang didakwa telah mengaitkan kematian wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Selangor sebagai amaran daripada Allah supaya rakyat Malaysia memilih parti yang tepat.

Balu bekas ADUN Seri Setia, Allahyarham Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin, Adibah Ahmad berkata, beliau marah, geram, sedih juga terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua UMNO Bahagian Puchong tersebut.

Oleh itu, beliau mewakili pihak keluarga Allahyarham serta tiga keluarga bekas ADUN yang menggesa Mohamed Satim untuk menarik balik kenyataan tersebut yang jelas telah mengguris hati pihak keluarga yang terlibat.

“Sesungguhnya tidak ada mana-mana pangkat, darjat, latar belakang parti politik yang dapat menghalang takdir Allah berkaitan kehidupan dan kematian.

“Inilah qada dan qadar Allah, kami sekeluarga mendoakan supaya tiada lagi unsur-unsur kempen yang melampaui batas norma dan budaya kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang hadir sama, ADUN Teratai, Brian Lai Wai Chong yang mewakili keluarga bekas ADUN Balakong, mendiang, Eddie Ng Tien Chee dan anak penyandang DUN Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, Fitri Al-Amin.

Mohamed Satim yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Puchong, dilaporkan oleh sebuah portal berita sebagai berkata, semua pilihan raya kecil (PRK) di Selangor iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan kini di Semenyih melibatkan kematian wakil rakyat daripada PH dan bukan daripada BN.

Beliau didakwa berkata Allah telah memberi amaran sejak PRK Sungai Kandis lagi supaya rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, namun rakyat tidak memahami isyarat itu.

Kesemua PRK di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong dimenangi oleh calon daripada PH.

Manakala PRK DUN Semenyih pula bakal diadakan pada Sabtu ini berikutan kematian Bakhtiar pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Sementara itu, menurut Wai Chong, mereka memberi tempoh dua hari kepada Mohamed Satim untuk membuat permohonan maaf.

“Kami beri dia dua hari untuk minta maaf. Kalau tidak, pihak kami akan buat tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN