Tukang masak didakwa sebabkan kematian warga emas - Utusan Malaysia

Tukang masak didakwa sebabkan kematian warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang tukang masak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas di Jalan Theatre, Pekan Baru di sini pada awal bulan ini. 

Tertuduh, Liew Wai Keong, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Goh Guan Cheong, 63, dengan melakukan perbuatan gopoh dan cuai di tangga hingga kaki lima bangunan Qiong Hai Association, Jalan Theatre, Pekan Baru di sini antara pukul 11 pagi hingga 12 tengahari pada 2 Februari lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wai Keong didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datin K. Shamini.

Nurul Qistini mencadangkan RM10,000 terhadap terhadap tertuduh namun Shamini memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan berkenaan atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis selain dia merupakan anak tunggal berpendapatan kira-kira RM1,000 sebulan bagi menyara diri dan ibunya.

Nurul Hafizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Mahkamah menetapkan 27 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Akhbar Kosmo! pada 3 Februari lalu melaporkan, seorang lelaki warga emas ditemui maut dengan kesan luka di bahagian dada selepas dia terlibat dalam pergaduhan di tangga sebuah rumah kedai di Jalan Theatre di sini.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Chai Ah Kin, 93, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk akibat ditikam dengan senjata dipercayai sudu.

Difahamkan, Guan Cheong yang merupakan suspek turut parah selepas dia ditetak oleh seorang lelaki lain yang mahu menyelamatkan ibunya daripada dicekik dalam pergaduhan itu.

Guan Cheong yang kritikal dan koma selepas ditetak itu bagaimanapun meninggal dunia selepas dua minggu dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini