PONTIAN – Seorang tukang terkejut selepas mengetahui kereta dan bengkel pertukangan kayu serta dapur rumahnya terbakar di Kampung Parit Yassin, Benut, di sini semalam.
Berita sedih itu diketahui Syukor Ibrahim, 49, pada pukul 12 tengah hari ketika dia dan isterinya, Yanti Isa, 43, sedang berbelanja di sebuah pasaraya di Pekan Benut di sini selepas mendapat panggilan telefon dari anak saudaranya.
“Cuma Allah S.W.T sahaja tahu perasaan ketika itu kerana segala mesin dan kayu ada dalam stor, semuanya musnah.
“Begitu juga dengan kereta Alfa Romeo yang diletakkan di sebelah bengkel. Habis terbakar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Syukor bagaimanapun reda dengan kejadian itu kerana apa yang penting adalah keluarganya selamat lebih-lebih lagi anak saudaranya, Mohamad Saiful, 28.
“Saiful sempat keluar dari rumah selepas dengar jeritan jiran yang ternampak api di bengkel,” katanya.
Sementara menceritakan detik cemas itu, Saiful berkata, dia cuba memadam kebakaran dengan menjirus air yang diisi dalam baldi, namun api marak dengan begitu cepat.
“Ketika saya hendak mandi, jiran jerit beritahu ada api di luar rumah. Saya bergegas keluar sambil bawa baldi berisi air.
“Rupanya api sudah marak membakar hampir keseluruhan bengkel pertukangan kayu di sebelah rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Operasi, PBK II Abdullah Sani Md. Jani berkata, pihaknya menerima panggilan kira- kira pukul 12.57 tengah hari dan seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat Pontian turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru dalam melakukan kerja-kerja pemadaman. – K! ONLINE.










