Tinggal sehelai sepinggang rumah didiami lebih 30 tahun terbakar - Utusan Malaysia

Tinggal sehelai sepinggang rumah didiami lebih 30 tahun terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA 12 Feb. – Seorang peneroka di Felda Sebertak di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didudukinya lebih 30 tahun lalu musnah dalam kebakaran malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 malam yang mengakibatkan kerugian lebih RM200,000 itu dikatakan bermula di kawasan penyimpanan barang di hadapan bilik.

Mangsa, Samsul Badri Mohamad, 51, berkata, api marak dengan cepat menyebabkan dia dan jiran serta anak-anaknya tidak dapat menyelamatkan barang-barang termasuk dokumen penting.

“Semasa kejadian, saya baru sahaja keluar untuk ke kedai kopi sebelum mendapat panggilan daripada anak perempuan  memberitahu rumah terbakar.

“Saya bergegas pulang dan mendapati api marak namun saya reda dan bersyukur anak serta dua cucu saya selamat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, pada masa ini dia bersama anak dan cucu menumpang di sebuah rumah jiran berhampiran.

“Pada masa ini saya hanya tinggal pakaian yang dipakai ini sahaja manakala anak perempuan saya memakai pakaian yang diberikan jiran,”ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×