SLIM RIVER – Tindakan pantas seorang anggota polis dan tujuh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berjaya menyelamatkan seorang bayi yang terperangkap di dalam kereta yang diparkir di pekarangan Pejabat Pos Slim River di sini sebentar tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 1.50 petang itu, bayi perempuan berusia tiga bulan tersebut terperangkap di dalam kereta jenis Toyota Vios berkenaan terkunci secara tiba-tiba ketika ibu bapanya keluar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Mohd. Fazrul Azuan Norman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang anggota polis yang berada di Pondok Polis berhampiran pejabat pos berkenaan pada pukul 1.52 petang.
“Tujuh anggota segera ke lokasi kejadian dalam usaha menyelamatkan bayi tersebut.
“Tiba di lokasi, bayi tersebut masih berada di dalam kereta berkenaan dan anggota menggunakan peralatan khas untuk membuka salah sebuah pintu kereta itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Mohd. Fazrul, anggota mengambil masa selama tiga minit untuk membuka pintu dan menyelamatkan bayi tersebut.
“Bayi itu berada dalam keadaan baik dan dia diserahkan kembali kepada ibu bapanya.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.08 petang,” katanya. – K! ONLINE










