LUMUT – Tiga maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan mambabitkan dua buah kereta di Batu 11 Segari di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 12.15 pagi itu, mangsa yang maut adalah pemandu Proton Persona, Sharifuden Shahidan, 34; penumpang hadapan kereta berkenaan, Nadya Othman, 36, dan penumpang hadapan Proton Iswara, warga Indonesia berusia 30-an.
Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala, pemandu Proton Iswara, Henson Elizabeth Saimah, 31, cedera parah apabila patah kaki kanan dan luka di bahagian kepala.
Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Pesona datang dari arah Taiping menghala ke arah Seri Manjung manakala Proton Iswara dari arah Segari menghala ke arah Pantai Remis.
“Tiba di tempat kejadian, dipercayai Proton Iswara gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Proton Pesona yang berada di laluan yang sah.
“Akibat kemalangan ini, pemandu dan penumpang hadapan Proton Pesona dan penumpang hadapan Proton Iswara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Muhammad Hanif, pemandu Proton Iswara yang cedera parah dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mayat tiga mangsa dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE










