SELEPAS pembukaan persimpangan bertingkat di Melaka menjelang Tahun Baharu Cina baru-baru ini tiada lagi cerita-cerita yang tular di laman sosial mengenai kesesakan lalu lintas yang teruk di bandar raya bersejarah ini.
Sebelum ini, setiap kali cuti hujung minggu, cuti persekolahan atau cuti umum, pasti ada rungutan pengunjung yang bersesak sebaik sahaja melepasi Plaza Tol Ayer Keroh.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab, pembukaan dua persimpangan bertingkat itu mampu mengurangkan tempoh pemanduan selama 10 minit bagi mereka yang ingin ke pusat bandar raya Melaka.
Sebenarnya banyak lagi laluan di Melaka yang sebelum ini mengalami kesesakan teruk antaranya di sepanjang Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) yang mempunyai 24 lampu isyarat bagi dari Alor Gajah untuk ke Jasin.
Menyedari permasalahan itu, kerajaan negeri sebenarnya sedang meneliti langkah terbaik untuk mengatasi kesesakan di Lebuh AMJ itu sedikit demi sedikit namun seperti kata Mohd. Sofi ia bukan sesuatu yang mudah.
“Kita tidak mahu Melaka digelar Darul Sesak, setiap kali orang luar datang mesti tersangkut dalam trafik. Untuk itu, kita cuba menaik taraf sistem pengangkutan dan perhubungan di negeri ini tetapi rakyat perlu bersabar,” katanya ketika mengulas isu kesesakan di Melaka.
Langkah seterusnya, kerajaan negeri mencadangkan pembinaan tiga lagi persimpangan bertingkat iaitu di hadapan Hospital Pantai Ayer Keroh, air terjun persimpangan ke Bukit Baru dan di hadapan Masjid Al-Azim di Bukit Palah.
Bagaimanapun semua itu perlu kelulusan daripada kerajaan Pusat. Sehubungan itu, kerajaan negeri berharap sekurang-kurangnya dua daripada tiga cadangan itu akan diluluskan untuk Rolling Plan Kelima kerajaan negeri bagi tahun 2019-2021.
Sebagai sebuah negeri pelancongan, Melaka perlu memastikan kemudahan pengangkutan dan laluan perhubungan negeri diberikan keutamaan sementelah lagi ketika ini negeri itu mengadakan kempen Tahun Melawat Melaka 2019.
Walaupun pengunjung masih ramai yang mahu datang ke negeri ini tetapi percayalah sedikit sebanyak imej negeri ini akan tercemar setiap kali masalah itu ditularkan oleh orang luar menceritakan pengalaman serik mereka datang ke Melaka.
Mahu tidak mahu, kerajaan negeri perlu memastikan kemudahan tersebut diatasi, biarlah ia dilakukan sedikit demi sedikit asalkan nampak pembaharuan yang dibawa supaya bukan sahaja penduduk Melaka berpuas hati, malah pengunjung luar juga akan terpikat seterusnya berkunjung ke negeri ini selepas ini.










