Tidak perlu lagi punch card... - Utusan Malaysia

Tidak perlu lagi punch card…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA era penjajah British, pekerja adalah buruh yang diupah dengan kadar tidak setimpal berbanding lelah untuk mengerjakan estet-estet getah atau lombong di negara ini. Pekerja terpaksa menerima sahaja ketidakseimbangan sebegini kerana tidak ada istilah kebajikan kepada buruh seperti ini.

British mengupah penyelia yang dikenali sebagai mandur untuk memastikan buruh tidak mencuri tulang. Bagi penjajah, buruh bukan manusia tetapi mesin. Mereka ialah buruh upahan dan bekerja pula adalah membuat sesuatu yang ditugaskan secara berterusan di depan mandur. Disiplin maknanya datang tepat masa, berada di tempat kerja dan berterusan membuat kerja.

Di pejabat-pejabat pentadbiran British di negara ini pula diperkenalkan budaya kerja mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang. Ketika itu bekerja bermakna berada di kerusi atau tempat kerja di depan ketua. Jawatan paling tinggi bagi orang Melayu ialah kerani.

Begitu juga ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada 1981, antara yang diperkenalkan ialah sistem punch card. Disebabkan sistem punch card ini, kakitangan awam berlumba-lumba datang sebelum garis waktu bekerja.

Kalau datang lewat, ketua atau pegawai sumber manusia akan memberi surat peringatan atau tunjuk sebab datang lambat ke tempat kerja. Tetapi datang awal tidak semestinya bekerja juga awal.

Bagaimanapun landskap dan budaya tempat kerja sudah jauh berubah. Sistem punch card atau dimodenkan dengan mesin sentuhan jari tetap ketinggalan zaman sifatnya. Definisi ‘bekerja’ pada era digital ini bukan masuk kerja pukul 9 pagi dan balik pukul 5 petang.

Terma-terma disiplin pula tidak hanya ketepatan waktu datang atau keberadaan di ruang kerja. Sebaliknya ketepatan waktu menyempurnakan, bukan sekadar menyiapkan tugasan.

Ini kerana yang perlu diukur adalah hasil (output) bukan keberadaan di ruang kerja. Pekerja pada masa sama adalah pengkarya yang memanfaatkan seni dan kreativiti serta pemikiran.

Tambahan pula pada era digital di mana komputer termasuk telefon bimbit menjadi sebahagian daripada alat membuat kerja, peraturan-peraturan yang memastikan keberadaan sepanjang masa di ruang kerja adalah menongkah realiti. Jangan tanya di mana pekerja tetapi mana hasilnya.

Malah mesti memahami aspek-aspek insani para pekerja misalnya anak sakit, suami atau isteri uzur atau hal-hal lain. Memanglah ini menjejaskan kerja tetapi inilah juga bezanya menguruskan manusia dan menyelenggara mesin. Pekerja yang baik selalunya lahir daripada persekitaran yang insani, yakni tinggi duduknya pekerja sebagai manusia. Fahami kelebihan dan kekurangan manusia.

Perubahan nama jabatan perjawatan menjadi jabatan sumber manusia juga ada signifikannya. Perubahan ini bukan suka-suka atau sekadar nama tetapi peranan juga melampaui hal ehwal gaji dan sebagainya.

Maka yang perlu ditekankan oleh jabatan sumber manusia ialah kemampuan menguruskan manusia sebagai sumber kepada organisasi, menyingkap serta menggilap bakat dan memberikan pembelajaran (bukan latihan) sepanjang masa.

Penilaian prestasi pada setiap hujung tahun sudah tidak relevan. Ini lebih pada formaliti kerana jangka masa setahun itu sangat panjang. Kemampuan ketua menilai prestasi pekerja dalam masa setahun agak meragukan.

Oleh sudah banyak organisasi membuat penilaian semasa dan memberi pembelajaran sepanjang masa. Jadi, tanda aras jabatan sumber manusia ialah membangunkan sebanyak mungkin bakat dalam kalangan pekerja, memberi pembelajaran sepanjang masa untuk memastikan harta organisasi ini sentiasa memberi sumbangan.

Maka dengan itu akan wujud rasa saling memiliki antara pekerja dengan organisasi. Ini akan mengangkat martabat pekerja sebagai sumber manusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN