Tidak bermakna suci daripada kesilapan dahulu'- Mujahid - Utusan Malaysia

Tidak bermakna suci daripada kesilapan dahulu’- Mujahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 13 Feb.- Mana-mana bekas Ahli Parlimen UMNO yang menyertai Pakatan Harapan (PH) tidak bermakna mereka suci daripada kesilapan dahulu.

MUJAHID YUSOF
MUJAHID YUSOF 

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Mujahid Yusof menegaskan, pemimpin terlibat perlu faham bahawa mereka perlu menanggung kesilapan lama walaupun kali ini melompat ke parti lain.

Ujarnya, pendirian itu merupakan ketetapan penting dibuat PH sebelum membenarkan mana-mana bekas pemimpin UMNO menyertainya.

“Misalnya Ahli Parlimen Tasik Gelugor (Datuk Shahbudin Yahaya) pernah mengeluarkan kenyataan (perkahwinan mangsa rogol) dulu, ia tidak bermakna dia masuk PH, tiba-tiba benda itu hilang dan jadi orang orang baik.

“Mereka kene faham masuk PH, akan bersih dan tiada masalah, tiba-tiba jadi malaikat, benda ini tidak boleh berlaku menerusi kemasukan mereka ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Tahfiz Yang Berdaftar di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Oleh demikian, Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan, beliau yakin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah membuat penelitian sewajarnya sebelum membenarkan ahli-ahli Parlimen terlibat menyertai parti itu.

“Yang pertama, mereka kena yakin untuk terima apa sahaja perjuangan PH, ini sangat penting agar orang lain tidak mempersoalkan keputusan mereka menyertai kita.

“Selain itu, keputusan mereka tidak ada kepentingan tertentu sama ada untuk melepaskan diri daripada kesilapan lalu,” katanya.

Sementara itu, ditanya tentang pendirian DAP secara keseluruhan tentang kemasukan bekas-bekas ahli Parlimen UMNO itu, Guan Eng berkata, perkara itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PH.

Ujar Setiausaha Agung DAP itu, beliau telah membangkitkan perkara tersebut kepada Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beliau bersetuju agar mesyuarat dibuat dalam masa terdekat.

“Biar kita bincang hal dalam mesyuarat itu dengan semangat PH,” katanya.

Semalam, enam bekas Ahli Parlimen UMNO menyerahkan borang permohonan untuk memasuki Bersatu.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN