SEREMBAN 28 Feb. – Para Dato’ Lembaga Delapan (Tiang Balai) Luak Jelebu hari ini memohon perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mempertimbangkan semula penerimaan pengisytiharan pelantikan Maarof Mohd. Rashad sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.
Mereka menyatakan keyakinan bahawa kebijaksanaan dan keperihatinan Tuanku Muhriz dalam institusi adat di negeri ini mampu menawarkan penyelesaian terbaik dalam kemelut pelantikan itu yang telah berlarutan kira-kira empat tahun.
Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Ibrahim Harun berkata, bantahan Tiang Balai terhadap pengisytiharan itu bukan bersifat peribadi sebaliknya bertujuan memastikan segala aturan adat diikuti dalam hal ehwal pelantikan Undang luak yang baharu.
“Kami terpaksa menyuarakan perkara berkaitan pelantikan ini secara terbuka hari ini dengan harapan suara akar umbi dapat didengar dan mendapat perhatian daripada Tuanku Muhriz.
“Hasrat kami hanya semata-mata mahu imej, kewibawaan, nama baik, integriti dan ketelusan dalam amalan adat di negeri ini sentiasa dipelihara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Dato’ Ombi Pangkal Maharaja Lela Kadin Kidam; Dato’ Raja Balang Norhairizan Ab. Mukti; Dato’ Maharaja Inda Mohd. Nordin Mansor; Dato’ Senara Angsa Rosly Mohd. Zain; Dato’ Paduka Menti Abdul Aziz Zaini;
Dato’ Cincang Raja Maizani Shah Raja Musa dan Dato’ Shahbandar Mohd. Rathi Shamsudin.
Ibrahim memberitahu, isu berbangkit dalam pelantikan itu ialah dua surat menggunakan kepala surat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang bertentangan isi kandungannya; kewujudan Dato’ Lembaga yang tidak sah dan perbuatan Maarof membuat pengisytiharan sebagai Undang luak sebanyak tiga kali.
Sementara itu, Kadin yang bertanggung jawab mencari benih (calon) Undang luak berkata, beliau tidak pernah menyerahkan nama benih kepada Dato’ Menteri sebelum ini, Ismail Mohd. Zain.
“Jadi, kita tidak tahu dari mana Ismail dapat senarai nama benih untuk beliau isytiharkan sebagai Undang Luak,” katanya.
Kenyataan beliau disokong oleh Norhairizan yang memberitahu, beliau hanya menerima permohonan daripada 30 orang yang mengisi borang untuk menjadi calon Undang luak.
“Dalam senarai itu, nama Maarof tidak ada kerana beliau tidak mengisi borang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










