KUALA LUMPUR 6 Feb. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan khabar angin tentang rombakan Kabinet yang dikatakan selepas sambutan Tahun Baharu Cina.
“Tiada rombakan, tiada perubahan. Saya kekal pada yang sama (menteri Kabinet),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini hari ini.
Dr. Mahathir diminta mengulas komen dalam blog baru-baru ini yang mendakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; beberapa anggota Kabinet serta pemimpin politik termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Lebih 1,000 pengunjung dan orang ramai daripada pelbagai kaum memenuhi dewan dan pekarangan bangunan untuk sama-sama meraikan sambutan yang diadakan.
Semalam, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut dilaporkan berkata yang beliau tidak menerima sebarang berita mengenai rombakan Kabinet yang dikatakan akan berlaku selepas sambutan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sebarang keputusan perubahan Kabinet harus diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.










