Tiada pemberhentian pekerja kaunter bas Melaka Sentral - Utusan Malaysia

Tiada pemberhentian pekerja kaunter bas Melaka Sentral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 18 Feb. – Kerajaan negeri memberi jaminan tidak akan berlaku pemberhentian pekerja di kaunter tiket terminal bas Melaka Sentral di sini walaupun Sistem Tiket Berpusat (CTS) dijadual akan dilaksanakan mulai 1 Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, pada masa yang sama pihaknya dimaklumkan tiada pengendali syarikat bas ekspres yang beroperasi di terminal itu telah menghantar notis penamatan pekerjaan kepada pekerja mereka.

Menurutnya, walaupun CTS akan dilaksanakan mulai bulan depan, beliau telah mengarahkan supaya syarikat pemilik terminal, Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB) dan semua pengendali syarikat bas supaya berbincang bagi memastikan tiada pekerja yang akan ditamatkan perkhidmatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya difahamkan MSSB telah menghantar notis kepada semua pengendali syarikat bas pada 21 November lalu memaklumkan mengenai pelaksanaan CTS bermula 1 Mac ini, dan tempoh yang diberikan itu agak memadai kepada semua pengendali syarikat bas memikir cara yang terbaik untuk menetapkan hala tuju kakitangan mereka.

“Untuk itu, pengendali syarikat bas di Melaka Sentral perlu menyenaraikan kakitangan mereka yang masih diperlukan untuk berkhidmat selepas pelaksanaan CTS tidak lama lagi untuk kita lihat berapa jumlah pekerja yang tinggal dan menerusi bilangan itu kita akan pastikan mereka ini tidak akan diberhentikan,” katanya.

Beliau ditemui dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan lebih 40 pekerja kaunter tiket, pengendali syarikat bas dan pengurusan MSSB di bilik mesyuarat MSSB di sini sebentar tadi. Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah MSSB, Nazri Abu Kasim dan wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Mohd. Anas Mohd. Nor.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, sebanyak 68 pekerja kaunter tiket bas ekspres di Melaka Sentral bakal kehilangan pekerjaan berikutan pelaksanaan CTS dan Sistem Operasi Terminal (TOS) menggantikan sistem jualan tiket secara manual di terminal itu bermula bulan depan.

Kebanyakan daripada mereka yang sudah lama berkhidmat di terminal tersebut berasa teraniaya dengan tindakan drastik diambil pihak pengurusan Melaka Sentral.

Sementara itu, Mohd. Sofi berkata, kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) tidak akan bertindak zalim termasuk akan berusaha memastikan nasib semua pekerja di kaunter tiket itu terbela walaupun melaksanakan sistem baharu.

“Apa guna kita jadi kerajaan jika ada yang hilang kerja atau tidak cukup makan?, itu bukan prinsip kita sebaliknya kita akan bantu mereka walaupun CTS dijalankan, agar mereka tidak hilang mata pencarian.

“Senarai yang disediakan pengendali itu akan digunakan untuk kita lihat berapa ramai pekerja yang akan terus berkhidmat dalam syarikat bas, jika ada pekerja yang tidak diperlukan, kita akan cari jalan supaya mereka ini tetap mendapat pekerjaan sama ada di sektor lain atau mendapat pampasan yang sewajarnya, itu jalan terakhir kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×