SEREMBAN 28 Feb. – Tiada kes strok haba dilaporkan di negeri ini berikutan cuaca panas yang melanda pada masa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, bagaimanapun orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan segera jika terdapat gejala keletihan haba atau strok haba.
“Buat masa ini, keadaan cuaca di negeri ini adalah panas dan berisiko mendapat strok haba. Tanda-tandanya adalah sakit kepala, mual, muntah, pengsan, sawan, kulit kering serta kemerah-merahan dan suhu badan meningkat,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Veerapan berkata, langkah-langkah bagi mengurangkan risiko mendapat strok haba boleh dilakukan antaranya minum air kosong sekurang-kurangnya 2.5 liter sehari dan gunakan payung atau topi ketika cuaca panas.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan menggunakan pelembap kulit atau losyen pada bahagian tubuh yang terdedah kepada matahari, memakai pakaian ringan, berwarna terang dan longgar serta elakkan aktiviti luar.
Dalam perkembangan lain, Veerapan berkata, sebanyak 528 kes demam denggi dilaporkan di negeri ini dari 1 Januari sehingga 27 Februari lalu, iaitu peningkatan 200 peratus berbanding 176 kes pada tempoh sama tahun lalu.
Ujarnya, Seremban merupakan daerah yang mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 423 kes, Tampin (30), Port Dickson (29), Rembau (15), Jempol (12), Jelebu (10) dan Kuala Pilah (9).
Jelasnya, sebanyak tiga kes kematian disebabkan demam denggi dilaporkan dalam tempoh itu melibatkan orang dewasa yang mempunyai penyakit diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.
Menurut beliau, sehingga semalam sebanyak 15 lokaliti wabak denggi yang masih aktif telah dikesan dan kesemuanya di Seremban. – UTUSAN ONLINE










