KUALA LUMPUR 12 Feb. – Lendlease dan TRX City Sdn. Bhd. (TRX City) menerima kemudahan pembiayaan bernilai RM2.15 bilion bagi projek pembangunan bersama The Exchange TRX daripada empat bank utama.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Lendlease, Steve McCann berkata, empat bank tersebut adalah
Hong Kong and Shanghai Banking Corp. (HSBC); Standard Chartered Bank; Sumitomo Mitsui Banking Corp. (SMBC) and Malayan Banking Bhd. (Maybank).
Beliau berkata, pelaburan oleh Lendlease beserta komitmen yang diberikan oleh bank-bank global berkenaan mencerminkan keyakinan komuniti kewangan dan perniagaan antarabangsa terhadap projek pembangunan tersebut.
“Ini adalah projek global utama Lendlease dengan kerjasama TRX City, kami komited mengumpulkan kedua-dua kepakaran tempatan dan antarabangsa untuk merealisasikannya,” katanya dalam majlis pelancaran pembangunan bersama The Exchange TRX di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Ketua Pegawai Eksekutif TRX City, Datuk Azmar Talib. -UTUSAN ONLINE











