HULU LANGAT 22 Feb. – Barisan Nasional (BN) perlu menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih supaya momentum kebangkitan rakyat dapat dikekalkan.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, rakyat kini sememangnya tidak berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk berkaitan janji-janji yang tidak tertunai.
“Ada juga perkara yang dahulunya diberikan kepada rakyat semasa era BN tetapi sekarang sudah dihapus dan dikurangkan. Oleh itu sangat baik sekiranya momentum penolakan rakyat ini dapat diteruskan.
“Saya rasa rakyat akan untung apabila PH nampak mereka mengalami kemerosotan sokongan, mungkin mereka akan lebih peka kepada nasib rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Santai Anak Muda di Bilik Gerakan Sungai Lalang, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Semenyih Barat di sini malam tadi.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, kebangkitan semula BN pasti mengambil masa, namun jika kerusi Semenyih dapat dimenangi akan mempercepatkan lagi proses tersebut.
“Saya tak kata kita dah bangkit sepenuhnya, permulaannya di Cameron Highlands apabila kita memperoleh majoriti yang besar. Jadi jika kita menang di Semenyih, momentum itu akan bertambah,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama di antara UMNO dan Pas semasa kempen PRK Semenyih ketika ini, Khairy berkata, kerjasama itu jelas dilihat terutama di peringkat akar umbi.
“Saya lihat di peringkat pelaksanaan, jentera dan sebagainya semua berjalan seperti mana yang diharapkan iaitu kerjasama seperti di Cameron Highlands berterusan.
“Saya difahamkan kita sedang merancang untuk mengadakan beberapa ceramah perdana melibatkan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti, kita tunggu dan lihat,” katanya.










