KUALA LUMPUR 12 Feb. – Ketua jurulatih Terengganu FC II, Tengku Hazman Raja Hassan menyifatkan tindakan pengendali skuad Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee yang menyalahkannya kerana berdiam diri daripada memberi jawapan untuk melepaskan pemain dilihat sebagai tidak wajar.
Tengku Hazman berkata, dia sudah dimaklumkan oleh pihak pengurusan yang telah menerima permohonan bertulis daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar Muhammad Izzan Shahmi Mustaffa diberi pelepasan, bagaimanapun, belum sempat dia memberi jawapan, Kim Swee sudah menempelaknya.
Katanya lagi, kelewatan untuk memberikan maklum balas adalah disebabkan dia mahu berbincang dengan pengurusan secara bersemuka kerana mengalami kesukaran berunding menerusi telefon.
“Bagaimanapun, sebelum sempat saya memberi maklum balas, Kim Swee telah mengeluarkan kenyataan yang saya tidak memberi kerjasama dan enggan melepaskan pemain. Ini dilihat kurang wajar sebagai jurulatih berpengalaman kerana mempersalahkan saya sedangkan saya memohon tempoh untuk berbincang.
“Dakwaan saya tidak mengangkat panggilan telefon itu disebabkan saya sedang memandu dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu untuk latihan. Saya mengakui ada dua panggilan nombor tidak dikenali tidak berjawab dan saya tidak tahu pula nombor tersebut kepunyaan penolong jurulatih Kim Swee.
“Kadang-kadang ada nombor yang tidak dikenali saya tidak jawab. Sebaiknya jika tidak diangkat tinggalkan mesej atau WhassApps sekurang-kurangnya saya tahu siapa yang menghubungi,” katanya.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Kim Swee menempelak tindakan pengendali Terengganu FC II, Tengku Hazman yang mendiamkan diri ketika diminta kebenaran melepaskan salah seorang pemainnya selepas mendakwa panggilan telefon dan mesej pesanan ringkas (SMS) yang dihantar beliau tidak dibalas.
Tengku Hazman berkata, pengurusan Terengganu II sebenarnya sudah memberi lampu hijau jika mana-mana pemain dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan dan perlu dilepaskan.
“Saya sedia melepaskan Muhammad Ridzuan Razali sekiranya pasukan B-22 masih memerlukan khidmat dia dan juga terbuka kepada pemain-pemain lain untuk dipilih menyertai pasukan kebangsaan. Saya mohon maaf jika ada kesilapan teknikal dan komunikasi di pihak saya sehingga membantutkan perancangan pasukan B-22 negara,” ujarnya.










