KUALA TERENGGANU 10 Feb. – Sebagai menghargai pengorbanan besar dengan sanggup bergadai nyawa demi menyelamatkan lima sekeluarga dalam tragedi di Sungai Terengganu, kelmarin, Abdul Bari Asyraf Mohd. bakal menerima anugerah khas daripada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkara itu akan diusulkan dalam Mesyuarat Mingguan Exco Rabu ini bagi menentukan bentuk anugerah yang bersesuaian buat Allahyarham.
“Apa yang dilakukan Abdul Bari Asyraf sangat besar dalam keadaan dia cuma berusia 31 tahun apabila sanggup berkorban melakukan sesuatu yang cukup terpuji.
“Bukan mudah sebenarnya untuk menyelamatkan mangsa kerana mereka berada di dalam kereta tetapi, dia tetap mempertaruhkan nyawanya. Bagi pihak seluruh rakyat Terengganu kami sangat menghargai jasa dan pengorbanannya,” katanya di sini hari ini.
Abdul Bari Asyraf hilang ketika menyelamatkan lima sekeluarga yang keretanya terjunam di sungai berkenaan dan selepas lebih 24 operasi pencarian, mayatnya ditemukan pukul 7.24 pagi ini kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Wan Sukairi berkata, sikap terpuji yang ditunjukkan Abdul Bari Asyraf dalam menghulurkan bantuan kepada insan memerlukan itu wajar dicontohi golongan muda lain di negeri ini.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri turut menghargai jasa lima penyelamat orang awam lain atas keberanian mereka.
“Semua rakyat terkesan dengan pengorbanan Abdul Bari Asyraf dan walaupun tiada ikatan persaudaraan dan tidak saling mengenali, tetapi mereka tetap berdoa dan mengalirkan air mata,” katanya. – UTUSAN ONLINE









