BANGKOK 27 Jan. – Calon wanita dari Parti Palang Pracharat bagi kerusi Parlimen kawasan 3 Wilayah Narathiwat, Tasneem Chettu berazam untuk merampas kerusi kubu kuat Parti Demokrat itu menjelang pilihan raya umum Thailand.
Wanita berusia 46 tahun yang pernah bertugas di Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan itu tidak gentar berdepan saingan sengit dalam pilihan raya yang akan diadakan pada 24 Mac ini apabila bertemu calon Parti Ruam Palang Prachat Thai dan Parti Prachachat yang mempunyai ramai penyokong di wilayah itu.
Beliau yang fasih berbahasa Melayu ketika turun padang bertemu para pengundi dan menghadiri ceramah mencuri tumpuan dalam kalangan penduduk tempatan dalam kempen pilihan raya.
“Kaum ibu harus memilih saya kerana Palang Pracharat akan memberi keutamaan kepada ibu-ibu hamil dan anak-anak sehingga mereka berusia lapan tahun,” katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) di Rachapat Universiti Yala.
Berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang Psikologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan ijazah sarjana dalam bidang pendidikan, Tasneem mahu menggunakan kepakaran beliau terus membantu penduduk tempatan yang majoritinya beragama Islam. – BERNAMA











