KOTA BHARU 9 Feb. – Langkah diambil Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik saman terhadap editor Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown bukan bermakna parti itu mengaku bahawa dakwaan dibuat portal itu terhadap Pas adalah benar.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, setelah mendapat penjelasan terperinci serta meneliti kronologi perjalanan kes, Pas menyokong penuh langkah penyelesaian di luar mahkamah yang dipersetujui oleh Abdul Hadi sebagai plaintif, dan Clare sebagai defendan pada 1 Februari lalu.
Katanya, Pas percaya dan yakin langkah diambil Abdul Hadi dalam hal itu adalah setelah mengambil kira kepentingan parti serta ahli-ahli Pas secara keseluruhan dan meliputi dalam semua aspek.
“Pas juga percaya persetujuan penyelesaian di luar mahkamah secara tidak meneruskan tindakan sedikit pun tidak tergolong kepada pengakuan (admission) terhadap isu dan perkara yang berbangkit dalam kes ini mahupun tohmahan-tohmahan (accusations) lain yang dibangkitkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Takiyuddin dalam pada itu menyeru ahli-ahli Pas supaya terus istiqamah dengan memberikan sepenuh wala’ dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan serta sentiasa berfikir dan bertindak secara berhati-hati agar tidak terjebak ke dalam perangkap musuh.
“Pas menyerahkan kepada Allah SWT di atas segala perkara dengan keyakinan bahawa Dia akan membantu serta memberi pertunjuk kepada hamba-Nya yang beriman, bersabar dan dizalimi di samping membantu mereka yang berjuang di jalan yang lurus,” katanya. – UTUSAN ONLINE










