SEPANG 19 Feb. – AirAsia Group Bhd. (AAGB) percaya bagi mendapatkan tambang murah, cukai lapangan terbang juga perlu rendah untuk membolehkan semua orang terbang sesuai dengan tagline syarikat itu iaitu ‘Kini semua orang boleh terbang’.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, selain itu bagi mendapatkan tambang murah, kos yang rendah diperlukan dan bagi memastikan kos rendah, lapangan terbang yang mudah diperlukan.

Katanya, terdapat begitu banyak momentum terhadap lapangan terbang tambang murah.
“Saya fikir untuk pengguna cukai lapangan terbang perlu diturunkan. Kebanyakan negara kini mahukan terminal kos rendah.
“Mereka kini melihat faktanya ialah lapangan terbang tidak mampu memenuhi semua keperluan. Untuk benar-benar mendapatkan kedua-dua pasaran, mereka perlukan lapangan terbang kos rendah dan lapangan terbang perkhidmatan penuh,” katanya menerusi akaun Twitter milik beliau di sini hari ini.
Tony hari ini berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias di ibu pejabat KWSP di Kuala Lumpur.
Tony berkata, kumpulan sangat gembira untuk bertemu MAHB berkaitan sebarang topik dan yang penting, model kos rendah dihargai.
“Kami gembira dengan sambutan positif KWSP dan berharap isu itu dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, Tony menerusi kenyataan akhbar menegaskan pihaknya telah mencadangkan pengantaraan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), yang diperuntukkan di bawah Akta Mavcom 2015, tetapi ditolak.
“Malangnya, Mavcom juga telah memutuskan untuk mengambil pendekatan hands-off walaupun isu ini terletak dalam lingkungan Mavcom,” katanya.
Semalam, Tunku Alizakri pada sidang akhbar sempena pengumuman Prestasi Kewangan KWSP 2018 berkongsi harapan supaya krisis antara dua pihak terbabit dapat diselesaikan secepat mungkin.
KWSP adalah pemegang saham kedua terbesar dalam MAHB dengan pegangan kepentingan sebanyak 10.81 peratus, sementara dalam AirAsia pula, ia mempunyai kepentingan sebanyak 5.64 peratus.
Pertikaian bermula sejak Disember 2018 itu apabila anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. mengambil tindakan undang-undang terhadap AirAsia Bhd. yang juga unit AirAsia Group serta penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X Bhd. dengan mengemukakan saman masing-masing sebanyak RM9.40 juta dan RM26.72 juta membabitkan PSC.
PSC dibayar oleh penumpang yang berlepas dan dikutip oleh syarikat penerbangan menerusi pembelian tiket sebelum diserahkan kepada MAHB.
AirAsia menerusi kenyataan baru-baru ini menyifatkan peningkatan PSC yang dikenakan MAHB adalah tidak wajar dan akan memberi kesan negatif terutama kepada pelanggan MAHB sendiri.











