JOHOR BAHRU 4 Feb. – Kawasan Gerbang Mahkota, Istana Bukit Serene, di sini menjadi lokasi kira-kira 500 masyarakat Cina berkumpul bagi mengadakan upcara tradisi bertujuan memupuk semangat keharmonian dan keamanan sempena Tahun Baru Cina.
Rata-rata mereka datang dengan berpakaian berwarna merah, hadir bersama keluarga, saudara-mara serta rakan dan dilihat mula berkumpul di kawasan bersebelahan gerbang berkenaan sejak 10 pagi.
Seorang pengunjung, Wee Seng Lee, 39, berkata, ia merupakan kali kedua dia dan keluaraga berkumpul di kawasan tersebut selepas kali pertama tahun lepas selain turut mengambil gambar kenang-kenangan.
Menurutnya, antara acara tradisi yang dilakukan ialah memijak rumput selain mereka yang hadir turut mencuba menegakkan telur ayam yang dipercayai dapat memberikan tuah kepada mereka yang berjaya melakukannya.
“Pada kali ini, saya datang bersama keluarga termasuk ibu yang berusia 70 tahun dengan harapan tahun ini akan membawa tuah buat kami sekeluarga dan memperoleh kemananan,” katanya ditemui di sini sebentar tadi.
Pada tahun lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang sentiasa dekat di hati Bangsa Johor berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama lebih 2,000 orang yang hadir, pada upacara sama selain membenarkan mereka meneruskan upacara itu.
Sementara itu, seorang peniaga, Tan Teck Fat, 42, berkata, jika mengikut kalendar Cina, hari ini merupakan hari ‘Lichun’ iaitu ‘Hari Permulaan Musim Bunga’ di mana beberapa acara tradisi dilakukan masyarakat Cina menyambut ketibaan musim itu.
Tambahnya, kawasan istana itu juga dianggap mempunyai ‘ong’ (tuah) oleh masyarakat Cina yang ke sana.
“Kawasan Gerbang Mahkota itu juga dipenuhi rumput di mana mengikut kepercayaan kami, seorang individu itu perlu membuka kasut dan memijak rumput bagi mendapatkan tuah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










