PUTRAJAYA 4 Feb – Perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut esok membawa nilai saling menghormati dan kekeluargaan dalam kalangan penyambutnya, kata Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Timbalan Perdana Menteri berkata, nilai tersebut jelas ditunjukkan pada tradisi makan besar sempena perayaan itu yang antaranya menekankan rasa kebersamaan dalam sesebuah keluarga.
Malah, beliau menjelaskan, masyarakat bukan Cina juga dapat menikmati sendiri kemeriahan perayaan tersebut apabila mereka menziarahi rakan-rakan dari kaum Cina mereka.
“Ketika Malaysia menuju ke arah menjadi negara tua, tradisi seperti ini harus dihargai dan nilai-nilai kebersamaan dalam keluarga perlu ditanam dalam kalangan golongan muda.
“Nilai-nilai ini jugalah yang menyatukan masyarakat kita. Hormatilah mereka yang tua, jagalah mereka, belajar dari kebijaksanaan mereka dan jangan mengabaikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr. Wan Azizah turut mengajak semua pihak memanfaatkan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini untuk memperkukuhkan jalinan kekeluargaan serta menghargai mereka yang tersayang. – UTUSAN ONLINE










