KUALA TERENGGANU 4 Feb. – Muhammad Syukur Khamis, 14, atau lebih mesra dipanggil Syukur Kampung Boy yang baru-baru ini popular dengan aksi mesra dan manjanya dengan haiwan peliharaan terutama kerbau, hari ini menerima sijil penghargaan seni budaya daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Sijil penghargaan itu diberikan atas kejayaannya sebagai Subjek Fotografi Konsep Kemanusiaan (Seni Budaya).
Turut mendapat sijil penghargaan adalah pegawai Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) cawangan Terengganu, Abdullah Deen Mohd. Zain (Dallah Deen) yang merupakan kalangan kumpulan jurugambar terawal yang mempopularkan subjek Syukur Khamis Kampung Boy sehingga mampu meraih pelbagai anugerah fotografi dalam dan luar negara.
Penyampaian sijil disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi ketika pelancaran Program Pemerkasaan Komuniti Kraf Malaysia Peringkat Terengganu di Kraftangan Malaysia negeri di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) kementerian itu, Saraya Arbi; Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Datuk Haslina Abdul Hamid; Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Suryani Senja Alias dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.
Dalam majlis itu, seramai empat usahawan kraf menerima Watikah Adiguru atas sumbangan besar mereka membangun dan mengembangkan seni kraf negara iaitu Ibrahim Ismail dari Kelantan yang mengusahakan batik terap di samping Kelsom Abdullah (anyaman mengkuang-Terengganu), Samat Man (wau-Perlis) dan Allahyarham Abdul Latiff Long (ukiran kraf kayu-Kelantan). – UTUSAN ONLINE










