Syarikat ‘penempatan haram’ disenarai hitam - Utusan Malaysia

Syarikat ‘penempatan haram’ disenarai hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV 13 Feb. – Beberapa syarikat Israel dan antarabangsa berdepan risiko disenarai hitam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana men­jalankan perniagaan di penempatan haram yang di­duduki rejim Zionis di Tebing Barat.

Al-Jazeera melaporkan, antara syarikat yang bakal berdepan tindakan tersebut adalah syarikat telekomunikasi Bezeq; Teva Pharmaceutical dan syarikat minuman gergasi, Coca Cola.

Pada 2016, Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) meluluskan resolusi untuk me­ngumpul senarai hitam mana-mana syarikat Israel dan antarabangsa yang beroperasi di penempatan haram tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun berdepan tekanan daripada Israel dan Amerika Syarikat (AS), UNHRC akan tetap mengeluarkan senarai syarikat yang disenarai hitam itu pada Mac ini.

“Tindakan UNHRC itu mendedahkan syarikat-syarikat tersebut kepada prosedur undang-undang atau mendorong mereka menarik keluar pelaburan di Israel.

“Oleh itu, kami meminta agar kerajaan Israel dan Kementerian Luar campur tangan untuk menghalang penyiaran senarai hitam tersebut,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Hot Telecommunication Systems Ltd., Tal Granot-Goldstein, salah sebuah syarikat yang berdepan senarai hitam itu.

Kenyataan Granot-Goldstein itu dimuatkan dalam surat kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

206 SYARIKAT DIKENAL PASTI

Pada Januari tahun lepas, UNHRC mengenal pasti 206 syarikat yang beroperasi di penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

“Pelanggaran terhadap hak asasi manusia (Palestin) yang dikaitkan dengan penempatan haram (Israel) telah berleluasa dan menghancurkan setiap aspek kehidupan penduduk Pa­lestin.

“Disebabkan pembangunan dan infrastruktur haram, rakyat Palestin menderita kerana sekatan terhadap kebebasan beragama, bergerak dan pendidikan, hak ke atas tanah dan air, akses kepada mata pencarian dan hak mereka untuk memperoleh taraf hidup yang mencukupi, serta hak-hak mereka untuk kehidupan berkeluarga dan banyak lagi hak asasi manusia,” jelas badan dunia itu.

Israel menduduki Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur semasa Perang Arab-Israel 1967.

Undang-undang antarabangsa melihat Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur sebagai wilayah yang diduduki dan menganggap semua penempatan Yahudi sebagai haram.

KOMITMEN RAJA SALMAN

Dalam perkembangan lain, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud menegaskan kerajaannya komited menjadikan Palestin sebagai sebuah negara bebas dan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya.

Media rasmi Arab Saudi melaporkan, Raja Salman membuat pendirian itu sebelum berlangsungnya persidangan keselamatan dan keamanan Asia Barat diketuai Amerika Syarikat (AS) di Poland.

Pendirian itu juga disuarakannya ketika pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Riyadh semalam.

Raja Salman berkata, negaranya tetap mengekalkan pendirian bersama Palestin dan hak rakyatnya untuk menjadi sebuah negara merdeka de­ngan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota.

Menurut agensi berita Wafa, Mahmoud memaklumkan kepada Raja Salman tentang perkembangan terkini di Pa­lestin selain membincangkan proses politik bagi menamatkan pencabulan Israel terhadap Palestin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini