PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan agak mustahil untuk memperkenalkan peraturan baharu bagi mewajibkan semua pasukan pada Liga Malaysia (Liga M) melepaskan pemain mereka menyertai panggilan skuad kebangsaan.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi mengakui syarat wajib sahut panggilan negara itu sukar dilaksanakan tetapi apa yang boleh FAM lakukan adalah memastikan pasukan-pasukan Liga M mempunyai kesedaran kepentingan panggilan untuk negara.
“Susah buat FAM melaksanakan peraturan baharu kerana jika ia dilaksanakan, akan timbul isu lain memandangkan pemain-pemain tersebut dibayar gaji oleh pasukan yang diwakili seperti termaktub dalam kontrak masing-masing.
“Apa yang boleh kita lakukan adalah mewujudkan semangat patriotik dan kesedaran kerana misi FAM adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya tidak kira pada peringkat umur mendapat keputusan terbaik dalam semua kejohanan yang disertai.
“FAM tidak boleh memaksa pasukan-pasukan terbabit tetapi jurulatih skuad negara sudah tentu akan berdepan tugas sukar untuk membentuk skuad yang mantap jika pemain-pemain dipilih tidak dilepaskan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur semalam.
Mohd. Yusoff diminta mengulas kontroversi beberapa pasukan Liga M tidak melepaskan pemain mereka menyertai skuad bawah 22 tahun (B-22) negara kendalian Datuk Ong Kim Swee bagi mengharungi kejohanan Piala AFF B-22 di Kemboja Isnin depan.
Pada masa sama, Mohd. Yusoff turut mengesahkan bahawa berlaku kesilapan komunikasi antara Kim Swee dengan jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan berhubung isu melepaskan pemain pasukan berkenaan.
“Saya akui berlaku masalah komunikasi apabila Kim Swee menghubungi jurulatih TFC II (Tengku Hazman) untuk mendapatkan beberapa pemain pasukan tersebut tetapi gagal kerana ia perlu menunggu kelulusan pihak pengurusan pasukan berkenaan.
“Ia adalah kesilapan teknikal kerana TFC belum ada sejarah lagi tidak melepaskan pemain mereka.
Justeru, saya harap proses mendapatkan mana-mana pemain akan diperhalusi lagi kerana sebaiknya setiap permintaan harus melalui pengurusan dan bukan jurulatih,” katanya.











