Suspek curi cincin batu delima RM2.89 juta lari ke Vietnam - Utusan Malaysia

Suspek curi cincin batu delima RM2.89 juta lari ke Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Suspek melarikan cincin batu delima seberat lima karat bernilai RM2.89 juta di kompleks beli belah Sky Avenue Genting Highlands, Bentong pada Ahad lalu dipercayai telah meninggalkan negara ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek berusia lingkungan 50-an tersebut dipercayai melarikan diri ke Vietnam pada hari kejadian.

“Berdasarkan siasatan, polis percaya suspek telah melarikan diri ke Vietnam. Bagaimanapun, kes masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” kata beliau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan seorang lelaki menukar cincin batu delima bernilai RM2.89 juta dengan cincin palsu di sebuah kedai emas di Sky Avenue Genting Highlands.

Dalam kejadian 24 Februari lalu, suspek meminta kebenaran daripada jurujual kedai emas itu untuk membelek cincin batu delima berkenaan sebelum menukarkan ia dengan cincin palsu menyerupai yang tulen.

Mohd. Wazir menambah, pihaknya juga percaya suspek yang dipercayai warganegara China itu telah merancang lebih awal untuk menukar cincin batu delima tersebut dengan yang palsu.

“Jurujual di kedai emas tersebut memaklumkan suspek pernah datang ke kedai itu pada sebulan lalu untuk membelek cincin batu delima yang sama.

“Polis percaya, dia telah merancang untuk menukar cincin itu dengan cincin palsu yang 99 peratus hampir sama dan sudah ada persediaan melarikan diri ke negara lain,” kata Mohd. Wazir. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN