Suri rumah rugi RM5,000 diragut lelaki bermotosikal - Utusan Malaysia

Suri rumah rugi RM5,000 diragut lelaki bermotosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM – Seorang suri rumah kerugian kira-kira RM5,000 apabila rantai emas yang dipakai diragut seorang lelaki dalam kejadian di belakang rumahnya di Taman Merak di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 54 tahun mahu masuk ke dalam rumah selepas menyedari kehadiran suspek menaiki motosikal jenis SYM memerhatikannya menyiram pokok bunga.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, wanita terbabit bagaimanapun tidak sempat masuk ke dalam rumah apabila diragut suspek tidak dikenali itu dari arah belakang.

“Berlaku pergelutan antara mereka sehingga mengakibatkan topi keledar dipakai suspek tercabut, bajunya terbuka akibat ditarik mangsa selain cukai jalan motosikal terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, mangsa yang mengalami sedikit kecederaan pada jari tangan kanan kemudian membuat laporan di Balai Polis Kulim sejurus kejadian.

Menurut Ahmad Nasir, susulan laporan itu, pihaknya berjaya menahan suspek berusia 25 tahun dalam Ops Cantas di kawasan sebuah stesen minyak di Taman Bersatu, Kulim kira-kira pukul 6.15 petang hari yang sama.

“Kita merampas sebuah motosikal jenis Sym dan suspek setakat ini tidak mengaku terlibat dalam kejadian ragut tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN