Sumbangan Nicol satu pengabdian kepada negara - Utusan Malaysia

Sumbangan Nicol satu pengabdian kepada negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGABDIKAN diri hampir sepanjang masa remaja di gelanggang berkaca atau tembok batu mungkin ia sesuatu yang sukar untuk dilakukan oleh sesiapa sahaja yang meminati sukan skuasy apalagi dengan adanya aktiviti lain yang lebih menyeronokkan.

Namun itulah pengorbanan besar Datuk Nicol Ann David terhadap sukan skuasy sehinggalah dia mampu meraih gelaran dunia dan akhirnya terpaksa akur dengan faktor usia untuk mengumumkan persaraan pada usianya menjangkau 36 tahun.

Berasal dari Pulau Pinang, nama Nicol bagaikan sudah sinonim dengan sukan skuasy di Malaysia. Pernah bergelar pemain No. 1 dunia selama 112 bulan, juara dunia 8 kali dan juara Asia 9 kali, pernah muncul sebagai Olahragawati Negara selain menyumbang pingat-pingat penting dalam Sukan SEA, Asia dan Komanwel, Nicol menjadi idola serta ikon sukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Skuasy bukanlah sukan yang popular di Malaysia satu ketika dahulu, namun kejayaan yang dikecapi Nicol dalam setiap penyertaannya di peringkat antarabangsa membuka dimensi baharu apabila ramai remaja mula mendekati sukan yang sebelum ini kebanyakan orang menganggapnya sebagai membosankan.

Malaysia mempunyai ramai bakat besar dalam sukan ini selain Nicol seperti Leong Siu Lynn dari Kelantan yang mengumumkan pesaraan dalam usia yang muda, disamping Kenneth Low, Ong Beng Hee, Mohd. Azlan Iskandar, Sharon Wee, Low Wee Wern, Delia dan Rachel Arnold serta beberapa nama lainnya.

Kebanyakan pemain ini adalah hasil sentuhan jurulatih dan bekas pemain negara, Raymond Arnold yang banyak menyumbang dalam perkembangan sukan skuasy di Malaysia.

Keputusan Nicol mengumumkan hasratnya untuk bersara selepas bergelumang dalam sukan itu selama hampir 20 tahun tentunya berita yang menyedihkan peminat sukan tanahair.

Dengan sukan skuasy belum menjadi acara yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik, tentunya hasrat Nicol menggantung raket membuatkan peminat sukan berasa sedih.

Bayangkan berapa pingat emas mampu diraih oleh Nicol jika acara itu sudah dipertan­dingkan dalam Sukan Olimpik. Setakat ini, hanya dua sukan raket dipertandingkan pada temasya itu, iaitu tenis dan badminton.

Dalam satu wawancara dengan media antarabangsa, Nicol pernah ber­kata, dia lebih rela melepaskan gelaran juara dunia untuk mendapatkan sebutir pingat emas Sukan Olimpik. Itulah satu-satunya impian yang tidak dapat dipenuhi oleh Nicol.

Peluang skuasy dipertandingkan pada tahun 2024 dikatakan cerah tetapi cabaran besar acara itu ialah kemungkinan mereka terpaksa bersaing dengan E-sports (sukan elektronik) yang dikatakan turut mengemukakan bidaaan.

Terima kasih Datuk Nicol. Jasa anda terlalu besar buat negara. Untuk mendekati rekod pencapaian Nicol mungkin sesuatu yang di luar jangkauan. Persoalannya, adakah Malaysia sudah sedia mencari pengganti Nicol.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×