JOHOR BAHRU 20 Feb. – Sultan Johor berkenan menerima mengadap Pengarah Perhutanan Johor, Datuk Jeffri Abd. Rashid di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, di sini hari ini.
Dalam pertemuan selama hampir sejam itu, Jeffri membentangkan laporan keadaan hutan di Johor serta perancangan yang akan dilakukan oleh jabatannya.
Menurut Datuk Jeffri, atas titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kerajaan Johor telah menghentikan pengeluaran kuota pembalakan sejak 2014 bagi memastikan khazanah kayu hutan tidak diteroka lagi.
Malah Sultan Ibrahim sendiri sudah menyerahkan semula kuota pembalakan yang diperuntukkan kepada baginda sehingga kini.
Baginda Tuanku juga bertitah supaya tindakan penguatkuasaan bagi menjaga kawasan hutan dipertingkatkan dan pelan tindakan perlu dirangka untuk pemuliharaan khazanah hutan serta penjagaan hidupan liar.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Osman Sapian serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani. – UTUSAN ONLINE










