KULAI 13 Feb. – Sepasang suami isteri ditahan kerana memiliki dadah dipercayai jenis heroin dan syabu dengan berat keseluruhan 17.71 gram bernilai RM1,750 di sebuah bilik hotel di Jalan Senai Utama, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow berkata, dadah tersebut ditemukan dalam bilik hotel pasangan terbabit masing-masing berusia 42 dan 17 tahun, hasil serbuan sepasukan polis pada pukul 11.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menemukan lima peket plastik lutsinar yang setiap satunya mengandungi dadah jenis heroin dan anggaran berat 16.21 gram.
“Polis turut menemukan dua peket bahan hablur disyaki dadah jenis syabu seberat 1.55 gram di atas tilam bilik hotel berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Tambahnya, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morphine.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE










