LONDON 21 Feb. – Pemain Amerika Syarikat, Steve Stricker menitiskan air mata ketika namanya diumumkan sebagai kapten pasukan negaranya bagi kempen Piala Ryder 2020 yang akan berlangsung di Whistling Straits.
Stricker, 51 tahun adalah antara pemain yang pernah memenangi kejohanan tersebut pada 2008 malah dia juga pernah beraksi bersama pasukan Amerika Syarikat pada 2010 dan 2012 namun tewas kepada Eropah.
Dia juga dipilih sebagai naib kapten pada aksi tahun lalu oleh Jim Furyk yang menyaksikan pasukan Amerika Syarikat tewas 17½-10½ dalam kempen di Le Golf National, Perancis.
Sewaktu pengumuman tersebut, Stricker tidak dapat menahan rasa terharunya apabila menitiskan air mata ketika namanya disebut sebagai kapten pasukan Amerika Syarikat 2020 menentang skuad Eropah yang diketuai Padraig Harrington.
“Ini umpama mimpi menjadi kenyataan.
“Saya amat terharu dapat mengalas tugas ini malah saya memang mengimpikan untuk menyertai kejohanan ini pada tahun depan.
“Saya akan memberikan sepenuhnya komitmen dalam kejohanan ini bersama pasukan negara,” kata Stricker.
Pencapaian Stricker dalam kejohanan berpasukan sebelum ini ialah menjuarai Piala Presiden pada 2017 ketika mengalas tugas sebagai kapten Amerika Syarikat. – AGENSI










