SSM, industri tempatan bekerjasama lahirkan graduan usahawan - Utusan Malaysia

SSM, industri tempatan bekerjasama lahirkan graduan usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 21 Feb. – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan terus memperhebat kerjasama dengan syarikat industri tempatan dalam usaha melahirkan lebih ramai graduan memiliki ciri-ciri keusahawanan menerusi program ‘Youngpreneurs Go (YPGO).

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata jalinan kerjasama itu bertujuan sebagai pendedahan awal agar penuntut memperoleh pengalaman dan dapat membuat persediaan sebelum tamat pengajian.

Beliau berkata inisiatif itu bertepatan dengan hasrat kerajaan agar graduan lebih berdaya saing dan mampu mencipta sendiri peluang pekerjaan terutama dalam bidang keusahawanan.

“Kita sudah ada agensi berkaitan yang menyertai kita seperti dalam harta intelek, sebagai contoh ada penuntut telah mengredkan produk mereka…oleh itu agensi ini dapat bertindak mengawal dari aspek harta intelek itu selain beberapa agensi yang sering bersama kita termasuk Majlis Amanah Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada karnival YPGO di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal di sini, yang dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.

Turut hadir Exco Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka G.Saminathan dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM Prof Dr Zulkiflie Ibrahim.

Sementara itu, Zahrah berkata pada karnival berkenaan, SSM memberi tumpuan terhadap mendidik dan memberi kesedaran kepada penuntut institusi pengajian tinggi melalui slot ‘Scam Alert’ bagi mengurangkan risiko penipuan untuk perniagaan dalam talian.

“Kita berharap agar segala ilmu dan perkongsian diberikan dapat membantu memudahkan golongan berkenaan bergelar usahawan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini, 1,403 entiti perniagaan yang menjalankan perniagaan melalui platform dalam talian telah mendaftarkan perniagaan mereka melalui produk pensijilan SSM dikenali sebagai BizTrust.

“Kita berharap agar mereka yang berminat dan memenuhi syarat ditetapkan merebut peluang keemasan ini berikutan SSM telah melanjutkan tempoh promosi pendaftaran secara percuma SSM BizTrust sehingga 30 Dis 2020,” katanya.

SSM BizTrust, diperkenalkan pada 2017 menyediakan platform kepada peniaga dalam talian untuk mendapatkan pensijilan dan logo SSM BizTrust yang akan dipaparkan di laman web perniagaan mereka. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN