MARANG 8 Feb. – Pas mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya turut menyiasat sumber dana yang diterima DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi perbelanjaan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas sentiasa bersedia dan terbuka untuk mendedahkan sumber dana mereka seandainya tindakan sama turut dijalankan badan bebas berkenaan terhadap mana-mana parti politik lain di negara ini.
Beliau memberi jaminan, kerjasama penuh akan diberikan kepada SPRM sepanjang proses siasatan ke atas mana-mana pemimpin Pas mahu pun parti itu sendiri, tanpa sebarang rasa gentar.
“Patutnya kena tanya parti lain dari mana dapat duit, jangan tuding jari kepada kita sahaja. Kita ada sumber kita, parti lain mana sumbernya, cuba beritahu? Cawangan dia pula banyak mana? Amanah dan DAP mana ada cawangan. Dia bertanding begitu sahaja jadi dari mana dia dapat? Yang itulah kena siasat.
“Pas mahu jadi parti yang bersih, terpulang kepada SPRM untuk siasat cuma kita harap dia berlaku adil. Kita tahu ada parti politik yang tak mahu undang-undang ini sebab takut tetapi kita tidak,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Rusila dekat sini hari ini sejurus selesai menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila yang terletak bersebelahan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa pemimpin parti itu yang dipanggil SPRM hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas. – UTUSAN ONLINE










