SEMENYIH – Polis akan mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) Talian Nur dalam menangani kes kehilangan kanak-kanak di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, perkara tersebut penting kerana polis memandang serius kes kehilangan melibatkan kanak-kanak.
“Kita terima aduan tanpa mengira sama ada rakyat Malaysia atau tidak kerana kes sebegini tidak boleh dipandang remeh.
“Oleh itu, polis akan mengkaji semula SOP talian Nur kerana setiap laporan membabitkan kehilangan kanak-kanak dan warga tua akan ditangani dengan lebih serius,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program lawatan kerja Menteri Dalam Negeri ke Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa talian Nur tidak diaktifkan pada 30 Januari lalu selepas polis menerima laporan kehilangan Siti Masitah Ibrahim, 11, yang ditemui dibunuh secara kejam di Pekan, Pahang pada Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Noor Rashid menegaskan kes itu tidak melibatkan sindiket penjualan organ.
“Ketua Polis Pahang sudah mengeluarkan kenyataan dan saya sekali lagi menegaskan kes ini bukan kes penjualan organ,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ditemui maut dalam keadaan tragis di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, Pahang.
Mayat Siti Masitah yang dipercayai dibunuh, ditemui penduduk kampung kira-kira pukul 5 petang selepas mangsa dilaporkan hilang pada 30 Januari lalu. – K! ONLINE










