Solskjaer 'tabik' kehebatan PSG - Utusan Malaysia

Solskjaer ‘tabik’ kehebatan PSG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER – Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui Paris Saint-Germain (PSG) adalah lebih hebat daripada pasukannya selepas tewas 0-2 kepada wakil Ligue 1 tersebut pada aksi pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara di Stadium Old Trafford, awal pagi semalam.

United gagal mempamerkan aksi yang menyakinkan selepas hanya berjaya melakukan satu percubaan ke arah gawang gol PSG dan dihukum dengan gol kemenangan menerusi sentuhan pemain pertahanan Presnel Kimpembe dan bintang penyerang, Kylian Mbappe pada babak kedua perlawanan.

Kad merah yang dilayangkan ke atas Paul Pogba turut menambah lagi tekanan di atas bahu Solskjaer yang kehilangan khidmat perancangnya itu pada aksi timbal balik kedua di Parc des Princes bulan depan.

“Kami gagal beraksi pada tahap sebenar, tetapi persembahan ini masih bagus berbanding aksi-aksi sebelumnya.

“Kami mengharungi momentum yang baik dan turun beraksi dengan minda yang positif, tetapi kekalahan ini satu pengajaran buat kami.

“PSG memiliki pemain berkualiti dan sebab itu mereka adalah antara pasukan pilihan dalam kempen Liga Juara-Juara ini. Itulah tahap yang kelab ini mahu dan perlu capai.

“Babak pertama mereka tidak ba­nyak memberi masalah kepada kami dan kami juga gagal menekan mereka. Kami memiliki banyak peluang pada babak kedua, namun tiada tindakan penyudah daripada pemain kami.

“Mereka pasukan yang lebih bagus daripada kami. Agak sukar untuk layak ke peringkat seterusnya, namun ia masih tidak mustahil dilakukan,” jelas Solskjaer.

Pada aksi tersebut, Anthony Martial dan Jesse Lingard terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan pada babak pertama, sekali gus menyukarkan lagi usaha United memburu gol sebelum PSG memperolehi dua gol mereka dalam masa tujuh minit. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×