MANCHESTER – Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengesahkan bahawa mereka kehilangan khidmat dua tonggak muda, Anthony Martial dan Jesse Lingard untuk tempoh beberapa minggu disebabkan masalah kecederaan.
Kedua-dua mereka mengalami kecederaan otot ketika United tewas buat kali pertama selepas 12 perlawanan kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada saingan Liga Juara-Juara awal, Rabu lalu.
Lingard terpaksa dikeluarkan pada penghujung babak pertama dan kemudian giliran Martial pula digantikan kerana tidak mampu untuk meneruskan permainan.
Situasi tersebut sekali gus menyaksikan United terpaksa melupakan khidmat kedua-dua tonggak berkenaan menjelang aksi menentang Chelsea awal pagi Selasa nanti pada saingan pusingan kelima Piala FA di Stamford Bridge.
Selain itu, mereka juga dijangka terlepas perlawanan menentang musuh tradisi, Liverpool untuk aksi Liga Perdana England pada 24 Februari nanti.
“Saya fikir mereka mungkin memerlukan tempoh dua hingga tiga minggu untuk kembali pulih,” kata Solskjaer.
Ketiadaan kedua-dua pemain itu membuka peluang kepada dua lagi pemain muda United, Tahith Chong dan Angel Gomes untuk diserapkan ke skuad senior.
“Kami masih mempunyai beberapa pilihan. Angel dan Chong telah menjalani latihan bersama skuad senior sepanjang minggu ini dan peluang untuk mereka diturunkan sangat besar,” ujarnya. – Agensi










