Sindiket gas LPG lumpuh, rampas barangan bernilai setengah juta - Utusan Malaysia

Sindiket gas LPG lumpuh, rampas barangan bernilai setengah juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Kegiatan haram satu sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi sejak sebulan lalu tumpas selepas dua premis mereka diserbu di Kapar, semalam.

Dalam serbuan selama dua jam bermula pukul 5 petang itu, merampas 1,860 tong gas berkapasiti 14 kilogram (kg) termasuk 772 daripadanya berisi gas serta dua buah lori termasuk tangki bernilai RM500, 000.

Timbalan Pengarah Cawangan Operasi Khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rosli Ahmad berkata, kejayaan itu hasil risikan pihaknya selama dua minggu terhadap kegiatan sindiket yang menjadi dua premis tidak bernombor itu sebagai stor pemindahan gas.

Katanya, jarak antara kedua-dua lokasi stor adalah sejauh tujuh kilometer. 

“Hasil pemeriksaan, kita menemui 772 tong LPG berisi berkapasiti 14 kg dan 1,088 tong gas kosong 14 kg, dua buah lori termasuk satu tangki gas dan lima unit peralatan hos paip besi. 

“Nilai keseluruhan dianggarkan RM500, 000,” katanya pada sidang akhbar di salah sebuah premis sindiket di sini hari ini. 

Beliau bagaimanapun berkata, tiada tangkapan dilakukan pihaknya dengan premis itu disewa oleh sindiket berkenaan sejak sebulan lalu bagi melakukan operasi haram mereka. 

Rosli menambah, siasatan awal mendapati modus operandi mereka adalah memindahkan gas daripada tong domestik bersubsidi yang berkuantiti 14 kg yang dibeli daripada pemborong ke dalam tangki berkapasiti 12 tan. 

“Sindiket ini kemudiannya menjual LPG tersebut pada harga dianggarkan RM42 bagi satu tong gas 14kg di sekitar Lembah Klang. 

“Pasaran mereka adalah kilang-kilang, restoran dan pihak industri,” katanya. 

Jelas Rosli, kes kini disiasat mengikut mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu berurusan secara borong/runcit barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan oleh pengawal dan Seksyen 21 Akta bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN