SAUDARA PENGARANG,
SEMUA pihak di negara ini perlu memastikan segala sijil atau dokumen yang dimiliki sama ada berkaitan akademik ataupun kemahiran adalah sah dan diperakui dalam negara kita dan bukannya palsu. Sekiranya mereka didapati menggunakan sijil atau dokumen palsu untuk melakukan sesuatu perkara seperti demi mendapatkan pekerjaan, ia merupakan satu perbuatan salah laku (misconduct) yang boleh digunakan sebagai alasan kukuh untuk dibuang kerja (dismissal).
Ia juga boleh dikategorikan sebagai satu perbuatan jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Kemunculan pelbagai jenis teknologi moden pada masa kini memudahkan proses pengeluaran sijil ataupun dokumen palsu yang turut digunakan untuk tujuan jenayah bagi mengelirukan orang awam bagi faedah diri pelaku itu sendiri.
Sekiranya seseorang itu disyaki menggunakan sijil atau dokumen palsu bagi mendapatkan pekerjaan, pihak majikan boleh mengenakan sebarang jenis hukuman termasuklah tindakan membuang pekerja berkenaan. Selain dibuang kerja, perbuatan ini juga boleh dianggap sebagai salah satu kesalahan jenayah dan boleh disiasat serta didakwa di bawah Seksyen 463 Kanun Keseksaan [Akta 574].
Dalam Seksyen 465 akta berkenaan pula memperuntukkan hukuman terhadap kegiatan jenayah pemalsuan ini yang boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Oleh yang demikian, isu penipuan penggunaan sijil atau dokumen palsu ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Pihak majikan perlu memainkan peranan mereka dengan meneliti segala sijil ataupun dokumen yang diberikan kepada mereka. Pihak majikan tidak boleh memandang ringan terhadap perkara ini kerana ia melibatkan reputasi organisasi mereka. Bahagian Sumber Manusia di setiap sektor pekerjaan perlu menjalankan proses pengesahan teliti terhadap semua jenis sijil ataupun dokumen yang telah diberikan pekerja adalah sah serta diperakukan penggunaannya dalam negara. Tidak boleh wujud sebarang kompromi dalam soal ini.
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Pensyarah Kanan Undang-undang USIM










