MELAKA 28 Feb. – Sebanyak 51 anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari seluruh negara menghadiri Kursus Media Sosial anjuran Sibermedia Sdn. Bhd., anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Melaka di sini yang berakhir hari ini.
Kursus selama tiga hari bermula Selasa lalu itu bertemakan ‘Warfare, Poketgrafi dan Penulisan Kreatif’ melibatkan pegawai perhubungan awam Ibu Pejabat serta negeri dan beberapa Bahagian lain dari Unit Komunikasi Korporat JPJ bertujuan memahirkan peserta dalam melaksanakan tugasan harian masing-masing.
Pengarah Eksekutif Sibermedia Sdn. Bhd., Ainol Amriz Ismail berkata, kursus ini merupakan siri kedua dianjurkan selepas program pertama Bengkel Mobile Journalism dan Asas Fotografi yang diadakan di lokasi yang sama pada 28 dan 29 Januari lalu.
Menurutnya, sepanjang tiga hari program itu, peserta didedahkan dengan pelbagai teknik media sosial termasuk poketgrafi dan kepelbagaian penulisan yang kreatif.
Majlis penutup kursus itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid yang berlangsung di akademi itu sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan.
Sepanjang kursus itu juga, peserta diajar oleh tiga tenaga pengajar termasuk Ainol Amriz, Mohammad Hazli Mohammad Hassan dan Hassani Hassan. – UTUSAN ONLINE










