KECANTIKAN dan wanita sememangnya tidak dapat dipisahkan. Ungkapan itu mungkin kedengaran klise, namun itulah kebenarannya.
Manakan tidak, pelbagai jenis jenama kosmetik dan produk pelangsing yang tumbuh bak cendawan selepas hujan membuktikan permintaan terhadap produk kecantikan sangat tinggi.
Hal ini berlaku kerana stigma masyarakat moden yang menganggap kecantikan itu bukan semata-mata terletak pada wajah, tetapi pada bentuk badan yang langsing persis seorang peragawati.
Tidak hairanlah jika ada yang berhabis ribuan ringgit semata-mata mahu kelihatan cantik. Malah ada juga yang sanggup berlapar demi memiliki bentuk badan yang diidamkan.
Seperti gadis remaja lain, Angel Low Sy Wei, 19, tidak terkecuali mengimpikan bentuk badan yang langsing dan menarik untuk tampil lebih berkeyakinan.
Justeru, gadis manis ini melakukan apa sahaja termasuk mengawal jadual pemakanan yang ketat. Disebabkan makan terlalu sedikit, Angel satu ketika dahulu pernah menghidap anorexia.
Beratnya ketika itu hanya 40 kilogram dengan tinggi 161 sentimeter dan terlalu kurus.
“Dua tahun lalu saya sangat obses untuk kurus kerana sering melihat model dan wanita cantik bertubuh langsing dalam Instagram. Jadi, saya mahu menjadi seperti mereka.
“Bermula dari situ, saya mengawal ketat pemakanan harian dan mengira setiap kalori yang diambil. Sampai satu ketika orang sekeliling mula menegur. Kata mereka saya terlalu kurus dan nampak tidak sihat,” katanya kepada Mega Rona.
Bukan itu sahaja, kesan anorexia turut menyebabkan Angel mengalami gangguan haid yang mencetuskan kebimbangan.
Justeru, dia mula sedar bahawa kurus itu bukan untuk kecantikan sahaja, tetapi elemen kesihatan juga harus dititikberatkan terutama bagi golongan muda sepertinya.
Bagi Angel, asas kepada kecantikan adalah kesihatan kerana jika seseorang itu sihat secara dalaman dan luaran, aura kecantikan asli pasti akan terserlah tanpa memerlukan bantuan solekan tebal.
Berbekalkan motivasi daripada kedua ibu bapa, dia mula mencari jalan keluar daripada permasalahan berat badan.
“Selepas itu saya mula mengunjungi gimnasium untuk menguruskan badan secara sihat serta mengamalkan pemakanan dengan cara yang betul.
“Saya juga banyak mencari dan membaca artikel di Internet untuk mengatasi masalah anorexia. Kini, saya sudah sembuh dan berat badan kembali normal,” ujarnya.
Tambah gadis kelahiran Klang, Selangor itu, rutinnya ketika ini banyak menghabiskan masa melakukan senaman seperti yoga, angkat berat serta pilates dan tidak sesekali mengulangi kesilapan lalu.
Angel kini memperuntukkan masa tiga kali seminggu untuk bersenam di gimnasium tanpa gagal untuk mendapatkan bentuk badan yang langsing dengan cara yang sihat.
Selain itu, dia juga lebih gemar menggunakan tangga berbanding eskalator jika di pusat beli-belah atau di mana sahaja untuk kekal aktif dan sihat.
Mahu bantu gadis lain
BELAJAR daripada kesilapan dahulu, Angel kini mahu memberi inspirasi kepada ramai gadis atau wanita di luar sana untuk menjalani gaya hidup sihat.
Dia kini bergiat aktif sebagai pelatih kecergasan dan membantu orang ramai untuk mendapatkan bentuk badan yang cantik dan sihat dengan senaman yang betul.
“Saya mempunyai sijil sebagai pelatih kecergasan daripada Fitness Innovations Malaysia (FITM).
“Saya mahu menggalakkan orang muda menjalani gaya hidup sihat. Daripada melepak, lebih baik mereka melakukan senaman dan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh,” jelasnya.
Selain itu, Angel turut menyertai agensi pengurusan bakat, Girls Republique untuk meningkatkan keyakinan diri serta menjadi ikon gaya hidup sihat.
Katanya, banyak perkara yang dipelajarinya di bawah pengurusan tersebut seperti membina keyakinan diri, teknik komunikasi berkesan, kerjasama serta meluaskan pengetahuan.
“Saya sertai Girls Republique sejak Ogos tahun lalu dan mendapati tahap keyakinan diri semakin meningkat melalui kursus dan program yang dijalankan di bawah agensi pengurusan ini.
“Melalui Girls Republique saya menggalakkan gadis-gadis lain untuk bersenam dan mengajar mereka teknik senaman yang betul,” ujarnya lagi.
Dia juga bakal mengeluarkan jenama pakaian sukan sendiri di bawah pengurusan tersebut tidak lama lagi.
Tahun Baharu Cina lebih bermakna
SAMBUTAN Tahun Baharu Cina tahun ini menjadi lebih bermakna buat Angel kerana dikelilingi rakan-rakan daripada Girls Republique yang berlainan bangsa dan agama.
Menurutnya, dia gembira melihat rakan-rakannya turut teruja menanti sambutan perayaan terbesar kaum Cina itu.
Katanya, kira-kira 90 peratus daripada persiapan sudah selesai termasuk penyediaan pakaian dan makanan bagi menyambut perayaan tersebut bersama keluarga.
“Sudah pasti sambutan kali ini sangat meriah kerana saya ada kawan-kawan pelbagai bangsa dan kami boleh sama-sama meraikan perbezaan itu.
“Juadah yang sangat saya tunggu-tunggu sudah pastinya yee sang ketika acara makan besar bersama keluarga nanti,” katanya.
Ditanya mengenai perkara yang paling disukai mengenai sambutan Tahun Baharu Cina, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, suasana berkumpul beramai-ramai bersama ahli keluarga menjadi saat yang paling menggembirakan.
“Semua ahli keluarga akan berkumpul pada hari itu untuk jamuan makan besar serta mengeratkan hubungan sesama keluarga.
“Paling seronok, saudara mara atau ahli keluarga yang masih muda dan belum berkahwin akan mendapat angpau daripada ahli keluarga yang lain,” katanya sambil ketawa.










