KULAI – Sepasang suami isteri ditahan selepas polis menemui dadah jenis heroin dan syabu dengan anggaran keseluruhan 17.71 gram bernilai RM1,750 di dalam bilik hotel penginapan pasangan itu di Jalan Senai utama di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, serbuan di hotel terbabit dilakukan pada pukul 11.30 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik hotel terbabit menemui lima peket plastik lutsinar yang setiap satunya mengandungi dadah jenis heroin dan anggaran berat 16.21 gram.
“Turut ditemui ialah dua paket bahan hablur disyaki dadah jenis syabu seberat 1.55 gram diatas tilam bilik hotel itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beng Yeow berkata, sehubungan itu, kedua-dua pasangan suami isteri berusia 42 dan 17 tahun tersebut dibawa ke IPD Kulai bagi membantu siasatan.
“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morphine,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.- K! ONLINE











