SEBERANG PERAI – Seorang pekerja kilang maut, manakala empat yang lain cedera selepas sebuah van pekerja dinaiki mereka terlibat kemalangan di Jalan Widuri, Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini hari ini.
Bagaimanapun identiti mangsa yang terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu belum dikenal pasti.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian mendapati van berkenaan telah terbabas di tepi jalan sebelum terbalik.
“Sorang mangsa iaitu wanita berusia 40-an ditemui meninggal dunia di bawah van itu.
“Empat mangsa yang cedera dihantar ke hospital oleh orang awam dan ambulan, manakala pemandu van itu selamat,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Menurut jurucakap tersebut, operasi membawa keluar semua mangsa yang dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal itu tamat pada pukul 7.52 pagi. – K! ONLINE










