KULIM – Gara-gara mencuri tong sampah milik sebuah masjid di Junjong di sini Isnin lalu, seorang lelaki dikenali dengan nama ‘Senoi’ ditahan polis semalam.
Suspek berusia 29 tahun itu ditahan di rumahnya di Jalan Raya Junjong di sini kira-kira pukul 6.20 petang.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, setiausaha masjid tersebut mendapati tong sampah dengan nombor siri khas yang disediakan syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman hilang pada Isnin lalu.
“Setiausaha masjid terbabit kemudian mendapati seorang lelaki dikenali dengan nama ‘Senoi’ sedang menarik tong sampah E-Idaman di hadapan sebuah rumah di Jalan Raya Junjong kira-kira pukul 9 pagi semalam.
“Dia berasa curiga kerana tong sampah jenis itu tidak disediakan E-Idaman di kawasan rumah persendirian kecuali dengan permohonan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, lelaki terbabit mengesyaki tong sampah berkenaan adalah milik masjid sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Junjong.
“Bertindak atas maklumat, anggota polis membuat pemeriksaan di kawasan rumah suspek dan menemui tong sampah seperti dilaporkan sebelum menemui lelaki itu sedang merebus air ketum di belakang rumah,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya bertindak merampas sebuah tong sampah E-Idaman bernombor siri sama serta periuk berisi air ketum sebanyak 1.5 liter dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Siasatan mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam dan di bawah Akta Racun,” katanya.- K! ONLINE










