Semua perlawanan melibatkan Perlis batal, tiada mata - Utusan Malaysia

Semua perlawanan melibatkan Perlis batal, tiada mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengesahkan semua perlawanan membabitkan pasukan Perlis dalam saingan Liga Premier 2019 terbatal dan tidak akan diberikan sebarang mata.

Dalam satu kenyataan, MFL, badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M), menjelaskan skuad Singa Utara akan dikeluarkan daripada senarai jadual perlawanan serta kedudukan liga sama seperti tindakan diambil ke atas pasukan Kuantan FA musim lalu.

MFL, bagaimanapun memutuskan untuk tidak membuat sebarang perubahan terhadap perkara teknikal seperti kesalahan tatatertib selain pengumpulan jumlah kad kuning dan kad merah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pasukan Perlis akan dikeluarkan dari senarai jadual perlawanan serta kedudukan liga. Ini bermakna hanya 11 pasukan sahaja yang akan bertanding sehingga penghujung musim 2019.

“Semua jaringan gol, jumlah mata dan jumlah perlawanan yang telah berlangsung membabitkan pasukan Perlis akan dikira kosong.

“Bagaimanapun, bagi kesalahan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP), perkara tatatertib termasuk pengumpulan kad kuning dan perintah keluar padang atau kad merah adalah dikekalkan dan berkuat kuasa seperti biasa,” menurut MFL dalam kenyataan itu.

Sebagai rekod, Perlis berkesempatan membuat tiga penampilan dalam saingan musim ini dengan meraih satu kemenangan ke atas Universiti Teknologi Mara (UiTM) 3-0, diikuti dua kekalahan 1-2, masing-masing di tangan Universiti Kebangsaan Malaysia FC (UKM FC) dan pendahulu, Johor Darul Ta’zim II (JDT II).

Ini menyaksikan UiTM akan kekal dengan satu kekalahan sementara tiga mata hasil kemenangan JDT II dan UKM FC ke atas Perlis dibatalkan.

Terdahulu, MFL hari ini mengekalkan hukuman menyingkirkan Perlis daripada saingan Liga Premier selepas menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang berhajat membuat penampilan semula.- BERNAMA



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN