ISKANDAR PUTERI 17 Feb. – Kerajaan negeri menyeru semua pengusaha pelancongan termasuk Airbnb di negeri ini untuk segera mendaftarkan perniagaan mereka bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, mereka yang terlibat boleh mendaftar dengan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya sejajar dengan pelaksanaan Akta Industri Pelancongan 1992.
“Jelajah bagi memberi kesedaran mengenai pentingnya untuk pengusaha terlibat mendaftarkan perkhidmatan mereka sedang giat dijalankan di negeri ini bermula awal tahun ini.

“Jadi, kita berharap semua penyedia perkhidmatan penginapan seperti itu perlu berdaftar segera bagi mengelak kementerian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan di bawah akta tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara EcoWorld Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) Dun-Qian Intelligent Hotel Management Co. Ltd. (Dun-Qian) dari Taiwan di Eco Nest, Eco Botanic di sini sebentar tadi.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menggesa pengusaha hotel dan perkhidmatan penyewaan rumah percutian dalam talian, AirBnB, mendaftarkan perniagaan mereka bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata kelewatan berbuat demikian boleh mengakibatkan pengusaha terbabit dikenakan tindakan tegas daripada kementerian dan PBT. – UTUSAN ONLINE










