KUALA LUMPUR 3 Feb. – Selangor gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila diikat Felda United 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Beraksi di hadapan lebih 10,000 penyokong sendiri, Red Giants lebih mengusai perlawanan dalam babak pertama dan berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.
Bagaimanapun, skuad B.Satiananthan terpaksa menunggu sehingga minit ke-41 untuk membuka tirai jaringan menerusi rembatan deras penyerang dari Grenada, Antonio German untuk Selangor mendahului 1-0 sehingga berakhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, Felda United bermain lebih agresif dengan melakukan beberapa serangan balas pantas berbahaya selepas jentera tengah tuan rumah kerap kehilangan bola.
Kesabaran pasukan pelawat menyerap setiap serangan Selangor akhirnya berbaloi apabila pemain sayap kiri, Hadin Azman memanfaatkan serangan balas pantas dengan mengelecek seorang pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti untuk meraih gol penyamaan pada minit ke-64.
Tersentak dengan gol itu, Gergasi Merah Kuning kembali mengatur rentak serangan namun kecemerlangan penjaga gol Felda, Norazlan Razali menafikan beberapa percubaan berbahaya terutama daripada Nurridzuan Abu Hassan dan Faiz Nasir pada minit ke-71 dan 79.
Ketika perlawanan berbaki enam minit, Norazlan sekali lagi bertindak cemerlang apabila menyelamatkan sepakan lencong menarik Nurridzuan sekali gus memastikan The Fighters mencuri satu mata di laman lawan.
Sementara itu, dalam aksi Liga Perdana, UKM FC memanfaatkan masalah dalaman yang dihadapi pendatang baharu, Perlis dengan kemenangan 2-1 di Stadium Cheras. – UTUSAN ONLINE










