KUALA LUMPUR – Kerajaan berkeyakinan bahawa sektor perlombongan sedang dalam proses pemulihan dengan mencatat pertumbuhan sebanyak 1 peratus pada Disember 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu disumbangkan daripada pertumbuhan indeks minyak mentah pada 2.5 peratus meskipun indeks gas asli sedikit berkurang sebanyak 0.2 peratus.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming berkata, sektor perlombongan telah menunjukkan peningkatan sejak suku ketiga tahun lalu.
“Kami optimistik tetapi berhati-hati bahawa sektor perlombongan akan kembali bangkit.
“Indeks Pengeluaran Industri (IPI) negara sebanyak 3.1 peratus bagi 2018 seperti yang dikeluarkan juga merupakan satu petanda baik, terutamanya bagi sektor pembuatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan sempena Majlis Networking Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Agensi Bersama Sektor Swasta Sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Menara MITI di sini semalam.
Jabatan Perangkaan Malaysia semalam mengeluarkan statistik IPI negara bagi tahun 2018, meningkat pada 3.1 peratus berbanding 2017, antara lain disumbangkan pertumbuhan sektor pembuatan pada 4.8 peratus dan sektor elektrik (3.7 peratus).
Sektor perlombongan bagaimanapun merosot pada 1.9 peratus.
Sementara itu, Kian Ming menjelaskan, pihaknya percaya bahawa harga minyak dunia yang disasarkan akan berada pada paras antara AS$60 hingga AS$70 setong (RM244 hingga RM285).
Menurut beliau, angka tersebut cukup untuk menggalakkan syarikat mengkaji semula aktiviti penerokaan dan pengeluaran yang mungkin telah dikurangkan sebelum ini.
Jelasnya, MITI kini memberi tumpuan kepada produk hiliran dalam sektor minyak dan gas yang akan dipacu projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor oleh Petronas.
“Kami menjangkakan lebih banyak aktiviti di Pengerang, selain palaburan baharu oleh syarikat lain,” katanya.










