Sekolah Pondok Tarbayatun Nisa di Tuaran musnah terbakar - Utusan Malaysia

Sekolah Pondok Tarbayatun Nisa di Tuaran musnah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Sebuah asrama dua tingkat sekolah pondok Tarbiyatun Nisa di Kampung Marabahai, Tuaran musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 6.55 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar ketika dihubungi berkata, api yang cepat merebak telah memusnahkan bangunan separuh kekal itu.

“Bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.58 pagi sebelum turun ke lokasi bersama sembilan anggota dan dua buah jentera,” katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba bertindak membuat pemadaman dan seterusnya pemeriksaan menyeluruh dijalankan di kawasan terbakar bagi memastikan tiada bahaya lain.

Katanya, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 7.38 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – Bernama
 
Sementara itu, pengurus asrama, Aishah Abdul Halim berkata, kejadian disedari selepas kuliah subuh apabila pelajar bergerak dari surau ke asrama.

Beliau berkata, asrama yang menempatkan 41 pelajar berusia antara tujuh hingga 26 tahun terdiri daripada anak-anak golongan fakir miskin dari seluruh Sabah termasuk daerah Nabawan, Pitas dan Sandakan.

Katanya, hanya tujuh pelajar yang mengalami sesak nafas kerana berada di dalam asrama ketika kejadian bagaimanapun keadaan mereka tidak membimbangkan.

Dalam pada itu, Aishah berkata sekolah pondok yang beroperasi sejak 1 September 2016 itu telah memohon supaya didaftarkan bagaimanapun permohonan yang dibuat sejak 2017 sehingga kini masih belum mendapat kelulusan untuk didaftarkan oleh pihak yang berkaitan.

“Buat masa sekarang, pelajar yang jauh daripada keluarga ditempatkan di surau sekolah itu,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN