Sekolah Indonesia usir 14 pelajar kerana positif virus HIV - Utusan Malaysia

Sekolah Indonesia usir 14 pelajar kerana positif virus HIV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SURAKARTA, Indonesia – Sekolah rendah awam Purwotomo 74 di Surakarta, Jawa Tengah membuang 14 pelajar yang dikenal pasti positif virus HIV/AIDS berikutan bantahan oleh ibu bapa pelajar lain, lapor akhbar Jakarta Post kelmarin.

Ibu bapa dan penjaga mengugut pihak pengurusan sekolah berkenaan untuk memindahkan anak-anak mereka ke sekolah lain sekiranya bantahan mereka tidak dipenuhi.

Pengetua Sekolah Purwotomo 74, Karwi mengesahkan laporan tersebut.

“Kami tiada pilihan. Kami menerima pelajar-pelajar ini berlandaskan prinsip setiap orang berhak mendapatkan pendidikan sehinggalah timbul bantahan tersebut,” katanya.

Kalangan ibu bapa itu mendapat tahu tentang kehadiran kumpulan pelajar penghidap HIV/AIDS tersebut semasa mesyua­rat ibu bapa dan guru-guru, awal Januari lepas.

Kesemua 14 pelajar itu yang dibantu oleh pertubuhan amal, Yayasan Lentera, berasal dari tahun yang berbeza.

Pengasas Yayasan Lentera, Puger Mulyono berkata, beliau memahami kebimbangan dalam kalangan ibu bapa tersebut.

“Kami akan menangani perkara ini. Kami akan menunggu surat ibu bapa dan cadangan daripada agensi pendidikan untuk memindahkan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, pegawai Agensi Pendidikan Surakarta, Etty Retnowati berkata, pihaknya telah me­nemui sebuah sekolah yang sanggup menerima kumpulan pelajar tersebut.

“Perkara yang paling utama adalah mereka boleh menyambung pembelajaran. Kami sentiasa mencarikan jalan penyelesaian,” kata wanita itu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN