ALOR SETAR 28 Feb. – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengingatkan bahawa mereka yang menularkan tohmahan terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas di laman-laman sosial turut tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan.
Beliau menegaskan, individu yang membuat tohmahan berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Katanya, manakala yang menyebarkan tohmahan pula disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta komunikasi dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain) yang membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara setahun.
“Justeru, saya meminta mereka yang merasakan telah melakukan kesalahan berkenaan (tohmah atau sebar tohmahan) supaya menyerah diri,” katanya.
Noor Rashid mengulas laporan polis yang dibuat oleh Tommy di Putrajaya semalam, ekoran pelbagai tuduhan yang mengaitkannya dengan sikap anti-Islam di media-media sosial ketika ini.
Menurut sumber, laporan itu dibuat oleh dua Pegawai Khas Peguam Negara, Amir Nasarudin dan Siti Rahayu Mumazaini bagi pihak Tommy di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada pukul 3.15 petang.
Dua pegawai berkenaan keluar dari IPD Putrajaya pada pukul 4.45 petang namun, usaha untuk mendapatkan reaksi mereka gagal apabila kenderaan yang dinaiki tidak berhenti untuk berjumpa media.
Sementara itu, Tommy dalam laporan sebuah portal mengesahkan beliau membuat laporan berhubung tuduhan yang dikenakan ke atasnya. – UTUSAN ONLINE










